Tema: Biru dan Hijau Tema: Biru dan Hijau Tema: Merah Tema: Hijau
Text: Tambah BesarText: AsalText: Tambah Kecil
Latar Belakang: 1 Latar Belakang: 2 Latar Belakang: 3 

Kemaskini Pada: 19 Okt 2018
Versi 8.1.2

Menu Utama Menegak

Pendaki hilang ditemui
Tarikh : 25 Sep 2018  Sumber Berita: Utusan Borneo Online
 

BAU: Misteri jeritan meminta tolong dari Gunung Singai membawa kepada penemuan pemuda yang dilaporkan hilang petang Isnin lalu ketika mendaki gunung tersebut.

Mangsa, Stanley Kho, 22, ditemui selamat tetapi dalam keadaan lemah setelah enam hari hilang di Gunung Singai.

Menceritakan detik itu, Mohamad Fitri, 37, yang merupakan penduduk Kampung Tanjung Bowang, Singai memberitahu, isterinya terdengar jeritan meminta tolong dari arah belakang rumahnya sekitar jam 7.30 pagi.

"Ketika itu saya sedang tidur, isteri saya di belakang rumah sedang cuci pinggan.

“Lepas itu, dia terdengar bunyi orang minta tolong menyebabkan dia takut dan memanggil ibunya.

"Saya terjaga dan bertanya apa yang berlaku sebelum isteri saya memaklumkan dia ada terdengar jeritan orang meminta tolong.

“Saya bersama adik ipar kemudiannya memanggil semula orang tersebut sebelum mangsa membalas balik dengan jeritan tolong," katanya ketika ditemui di sini semalam.

Mohamad menambah, sebaik mendengar jeritan balas daripada mangsa, dia dan adik iparnya, Lesdie Ng, 27, mula mendaki gunung tersebut mengikut arah suara mangsa melalui kawasan sungai.

Kira-kira 20 minit mendaki, dia dan adik iparnya berjaya menemui mangsa yang terbaring dalam keadaan lemah sebelum memaklumkan penemuan itu kepada pasukan mencari dan menyelamat.

"Apabila kami jumpa dia (Stanley), perkara pertama yang dia tanya, berapa hari bulan, hari ini hari apa. Dia sudah seminggu di atas (Gunung Singai). Dia tanya ada orang cari ke tidak.

"Kami ada bertanya kepada dia ada makan atau tidak, dia memberitahu hanya minum air sungai sahaja sepanjang tempoh tersebut," kata Mohamad lagi.

Tambahnya, mangsa ada mendengar jeritan pasukan mencari dan menyelamat serta penduduk kampung yang berusaha mencarinya tetapi seakan-akan lidahnya kelu untuk menyahut semula jeritan tersebut.

Menurut sumber, Stanley dikatakan mengikut seorang 'gadis' cantik yang ditemuinya ketika sedang mendaki gunung berkenaan.

"Mangsa memberitahu dia terjumpa seorang gadis cantik yang kemudian memberinya sekuntum bunga sebelum dia mengikut gadis berkenaan," katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Bomba dan Penyelamat Negeri Tiong Ling Hii berkata, mangsa ditemui selamat sekitar jam 8.10 pagi semalam di sebelah kanan kaki gunung, tidak jauh dari kediaman penduduk.

Kami mendapat maklumat bahawa penduduk kampung ada mendengar suara meminta tolong. Kemudian kami menghantar pasukan untuk menyiasat dan menemui jejak kaki dan kesan rebung dipatahkan.

"Justeru, pada pagi ini (semalam), tumpuan diberikan kepada usaha mencari mangsa di sekitar kawasan tersebut, sebelum berjaya menemuinya dalam keadaan lemah," jelasnya.

Tiong memberitahu ketika ditemui, Stanley dalam keadaan kesejukan, hanya berseluar pendek, dengan baju dan telefon bimbitnya hilang serta luka di beberapa bahagian kaki dan tangan.

Stanley hilang sejak jam 8 pagi Isnin lalu, setelah mendaki gunung yang menjadi kawasan riadah popular pada hujung minggu.

Sejak kehilangannya tersebar, ratusan pendaki terlibat dalam gerakan mencari dan menyelamat, selain penggunaan teknologi seperti dron dan sebagainya.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tasik Biru Datuk Harry Henry Jinep merakamkan terima kasih kepada semua pihak yang terlibat dalam operasi mencari dan menyelamat.

"Kami akan melakukan penambahbaikan termasuk memasang sistem kamera litar tertutup dan menambah papan tanda kawasan," ujarnya.

Atas permintaan keluarga, Stanley dibawa ke hospital swasta di bandar raya ini untuk mendapatkan rawatan lanjut.